KUALA LUMPUR, 31 Mei — Jabatan Imigresen Sabah mengatakan mereka hanya mengikut arahan kerajaan negeri untuk menghalang Nurul Izzah Anwar (gambar) daripada memasuki Sabah.“Arahan itu diterima dari semasa ke semasa,” kata Noor Alam Khan Abdul Wahid dipetik dari The Star Online mengulas tentang halangan terhadap naib presiden PKR itu ke Sabah semalam.
Seorang pegawai di jabatan ketua menteri berkata, tiada kenyataan rasmi berhubung perkara itu dikeluarkan setakat ini.
Nurul Izzah dinafikan masuk ke Sabah selepas mendarat di Kota Kinabalu petang semalam.
Penghantaran pulang naib presiden PKR itu dari Sabah semalam semasa Pesta Menuai menurut ahli Parlimen BN Sabah Datuk Bung Mokhtar Radin adalah “bencana” dan “kesilapan besar”.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mempersoalkan Ketua Menteri (KM) Sabah Datuk Seri Musa Aman mengapa Nurul Izzah dihalang masuk ke negeri itu dan terus dihantar pulang, dan berapa ramai lagi ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang akan dihalang.
Menurut Lim, tindakan tersebut melanggar prinsip asas hak asasi manusia dan menunjukkan bagaimana rakyat Malaysia dilayan dengan buruk di negara sendiri.
“Memandangkan senarai tersebut adalah hak prerogatif Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, kami ingin tahu siapa lagi yang dinamakan dalam senarai larangan terbabit,” kata ketua menteri Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan hari ini.
Menyifatkan tindakan menghalangnya memasuki Sabah sebagai “penahanan anti demokrasi”, Naib Presiden PKR Nurul Izzah hari ini mengatakan akan mengambil tindakan perundangan terhadap kerajaan negeri Sabah atas tindakan mereka itu di mahkamah.
Ahli Parlimen Lembah Pantai itu bagaimanapun menegaskan, beliau tidak mempersoalkan undang-undang di negeri Borneo berkenaan, sebaliknya hanya menuntut kerajaan pimpinan KM Musa mengemukakan sebab-sebab kukuh larangan yang dikenakan terhadapnya.
“Sekiranya saya dianggap mengancam keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas dakwaan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR petang tadi.
Posting Komentar